Friday, April 1, 2011

Petikan Akhbar Harian Metro, Khamis 31 Mac 2011

Anak temui ajal depan rumah

Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my
     
DITENANGKAN...Mohd Faisal menenangkan isterinya yang kematian anak sulung mereka selepas terbabit dalam kemalangan di depan rumah.
KLANG: “Saya sedang tutup pintu pagar rumah sambil kendong anak kedua. Tiba-tiba terdengar bunyi ‘bum’ dan bila toleh, anak pertama saya terbaring di atas jalan,” kata Che Wan Nor Al Fatihah Che Wan Othman, 26, ibu kepada Muaz Hakimi Mohd Faisal, 4, yang maut di depan rumahnya akibat dilanggar kereta jiran, semalam.
Kejadian berlaku di Lorong Klang Perdana 2C, Taman Klang Perdana, Sementa, Kapar kira-kira jam 5.30 petang kelmarin dan kanak-kanak itu maut di tempat kejadian akibat parah di kepala. 
Ketika kejadian, mangsa seronok menunggang basikal dilanggar Toyota Innova milik jirannya dipercayai dalam perjalanan mengambil anaknya di sekolah, kira-kira empat kilometer dari lokasi kejadian. 

Che Wan Nor Al Fatihah berkata, selepas melihat Muaz Hakimi terbujur kaku dan berlumuran darah, dia berlari mendapatkan mangsa biarpun masih menggendong anak keduanya, Muhammad Faiz yang berusia setahun enam bulan.

“Saya hanya mampu meraung sekuat hati selepas melihat dia tidak bernyawa. Baru beberapa saat sebelum itu dia berada di depan saya, tapi dalam sekelip mata dia meninggalkan saya untuk selama-lamanya,” katanya.
Che Wan Nor Al Fatihah dan suami, Mohd Faisal Mohd Affandi, 32, baru tiga bulan tinggal di rumah yang baru dibeli mereka itu. Sebelum ini pasangan berkenaan menyewa di Teluk Gong, Pandamaran. 
Difahamkan, sebelum kejadian, Che Wan Nor Al Fatihah bersama dua anaknya itu keluar bertemu jiran yang berkumpul di simpang jalan sambil mengambil angin petang di kawasan perumahan berkenaan. 

Admin: Kejadian yang menimpa saudara kita seperti dari petikan akbar tersebut wajar di ambil ikhtibar oleh kita semua.
a)     Sila pandu perlahan dan awasi setiap persimpangan mungkin ada kanak-kanak yang tiba-tiba melintas jalan. Sekiranya terserempak dengan kanak-kanak yang leka bermain di atas jalan adalah digalakkan menasihati mereka. Elakkan memarahi kanak-kanak tersebut yang memungkinkan berlaku perselisihan faham sesama kejiranan.
b)     Ibu bapa hendaklah sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak mereka dan elakkan mereka bermain sendirian di jalan raya terutama di waktu puncak.
Beringatlah, MALANG TIDAK BERBAU.