Tuesday, April 17, 2012

Penjelasan Berkenaan Pondok di depan Jalan PJ53


Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera,

    Pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Bandar Pulai Jaya 2 mutakhir ini sering dihujani aduan penduduk berkenaan pembinaan sebuah pondok di tanah lapang berhadapan Jalan Pulai Jaya 53. Berikut sedikit penjelasan dari pihak JKKK BPJ2.

...........................................................................

     Untuk makluman semua, pihak kontraktor pembinaan Surau Al-Falah membenarkan bangunan Ibu Surau Al-Falah mula digunakan untuk Solat Terawikh pada bulan Ogos 2011. Ini adalah kerana surau sementara yang digunakan sebelum ini dalam keadaan uzur dan tidak mampu untuk menampung jemaah yang datang menunaikan solat. Permohonan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Pembinaan Surau Al-Falah dan disokong oleh Pejabat Agama Daerah Kulaijaya.
     Sehubungan itu, surau sementara tersebut dijadikan stor barangan.Stor barangan ini menyimpan barangan milik Surau, JKKK dan JK Induknya seperti pingan mangkuk, sejadah, karpet, peralatan khemah, meja, kerusi, barangan elektrikal dan lain-lain lagi.
     Walau bagaimanapun, pihak JK Surau Al-Falah telah memutuskan untuk merobohkan surau sementara tersebut untuk keselesaan jemaah yang datang bersolat. Pihak JK Surau Al-Falah juga telah memohon fatwa untuk tujuan merobohkan surau sementara dan permohonan tersebut dipersetujui oleh pihak Pejabat Mufti Johor. Justeru, Surau Sementara tersebut dirobohkan (dibuka) dan kayu-kayu telah dipulangkan kepada pemilik yang memberi pinjam sebelum ini.
     Oleh kerana, barangan yang disimpan di dalam Surau Sementara tersebut masih tiada tempat untuk disimpan, pihak JKKK, UMNO dan KRT Bandar Pulai Jaya 2 bersetuju secara lisan untuk membina stor sementara di tanah lapang berhampiran Jalan Pulai Jaya 53. Pemilik kayu-kayu dari Surau Sementara yang di"buka" bersetuju untuk menggunakan kayu-kayu miliknya untuk tujuan pembinaan Stor Sementara tersebut.Pihak UMNO Cawangan Bandar Pulai Jaya 2 juga bersetuju untuk menampung kos-kos lain.
     Apabila siap kelak, stor tersebut adalah bersifat sementara sehingga stor kekal dapat didirikan di tapak yang lain yang akan dikenalpasti kemudian. Pihak KRT Bandar Pulai Jaya 2 juga ada membuat permohonan untuk mendirikan bangunan kekal di tapak tersebut untuk tujuan kemasyarakatan. Namun, pihak KRT BPJ2 berharap penduduk dapat bersabar sehingga bangunan KRT yang akan didirikan secara kekal siap kelak.
     Semasa mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Bandar Pulai Jaya 2 pada 30hb Mac 2012, pihak KRT melalui Pengerusinya memohon supaya bangunan stor sementara tersebut dirobohkan atau dipindah ke lokasi lain. Ini adalah kerana beliau menerima aduan daripada penduduk terutama penduduk di Jalan Pulai Jaya 53 yang mempersoalkan pembinaan stor sementara tersebut. Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Bandar Pulai Jaya 2 memutuskan bangunan stor sementara tersebut dirobohkan. Keputusan ini diambil demi menghormati aduan penduduk terutama penduduk di Jalan Pulai Jaya 53 yang tidak selesa dengan pembinaan stor tersebut. Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Bandar Pulai Jaya 2 juga meminta pihak UMNO untuk merobohkan stor sementara tersebut dalam masa terdekat.
     Dengan ini, pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Bandar Pulai Jaya 2 berharap semua penduduk dapat menerima keputusan yang telah diambil. Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Bandar Pulai Jaya 2 juga berharap semua pihak tidak membangkitkan lagi perkara berkenaan stor sementara tersebut. Sekiranya ada penduduk yang ingin penjelasan lanjut, sila hubungi Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Bandar Pulai Jaya 2 sendiri.
     Terima kasih kerana memberi perhatian dan aduan kepada pihak kami. Kami di Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Bandar Pulai Jaya 2 mengalu-alukan sekiranya ada aduan ataupun cadangan untuk dikemukakan kepada pihak kami. Sila hubungi pihak JKKK BPJ2 untuk maklumat lanjut. Jika salah menerima maklumat atau merujuk kepada individu yang salah, terutama berkenaan perkara-perkara yang sensitif, ia mungkin mengakibatkan perpecahan di kalangan penduduk. Di harap semua penduduk dapat memberi kerjasama dengan pihak jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Bandar Pulai Jaya 2 dan Jawatankuasa Induk yang lain.

Sekian, terima kasih.

Admin web ajkkk-bpj2.blogspot.com

Wednesday, April 11, 2012

HARI PERTABALAN YANG DI-PERTUAN AGONG


Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera,

     Pada hari ini, 11hb April 2012, merupakan hari yang bersejarah sempena Hari Pertabalan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke-14. Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah telah dilantik di kalangan 9 orang Sultan dari Negeri-negeri Melayu.

     AJKKK dan  JK Induk menjunjung kasih dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Almu' Billah Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Al-Marhum Sultan Badlishah di atas pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-14 pada hari Rabu, 11hb April 2012.

admin web ajkkk-bpj2