Wednesday, December 15, 2010

Operasi Melupuskan Kotai Tinggal

          Susulan permohonan penduduk-penduduk di Bandar Pulai Jaya 1 dan Bandar Pulai Jaya 2 dan Taman Pulai Mas berkenaan peninggalan rumah kongsi pekerja pembinaan atau kotai di sekitar taman perumahan semasa taklimat Kepolisian Masyarakat pada 13hb Disember 2010. OCPD Nusajaya, Supt. Tuan Abdul Aziz Bin Ahmad telah mengarahkan anggota polis dari Balai Polis Kangkar Pulai yang diketuai SI Tuan Jasmani untuk melupuskan kotai-kotai lama tersebut.
          Pada hari Selasa, 14hb Disember 2010 SI Tuan Jasmani dan pasukannya berserta wakil penduduk dari Bandar Pulai Jaya 2 iaitu En. Abdul Halim (AJKKK) dan En. Epin @ Supar (Pengerusi KRT) dan En. Ahmad Zainal (wakil zon D, Tmn. Pulai Mas) telah mula melupuskan kotai-kotai tersebut dengan membakarnya. Turut hadir pasukan Community Policing Nusajaya. Operasi tersebut bermula pukul 2.00 petang dan berakhir sekitar jam 5.30 petang. Antara tapak kotai lama yang dibakar adalah kotai berhampiran rumah kedai di fasa J, kotai berhampiran fasa G2, kotai berhampiran fasa G3, kotai berhampiran fasa E di Bandar pulai jaya 2 dan kotai berhampiran zon D, Taman Pulai Mas. Kini, penduduk-penduduk berhampiran berasa lega kerana kotai lama tersebut dikhuatiri menjadi lokasi penjenayah bersembunyi dan pembiakan haiwan berbisa. Terima kasih diucapkan atas bantuan dari mereka yang terlibat.













Tuesday, December 14, 2010

TAKLIMAT KEPOLISIAN MASYARAKAT (COMMUNITY POLICING)


Pada 13hb Disember 2010, Balai Polis Kangkar Pulai dan Kepolisian Masyarakat Nusajaya (CP Nusajaya) telah menganjurkan sessi taklimat berkenaan Kepolisian Masyarakat atau Community Policing (CP) dan dialog bersama Ibu Pejabat Polis (IPD) Nusajaya. Program tersebut telah bermula pada pukul 8.30 malam di Pejabat Jualan Bandar Pulai Jaya. Antara yang hadir adalah, Supt. Tuan Abdul Aziz Bin Ahmad, OCPD Nusajaya, Pegawai-Pegawai Atasan polis dari IPD Nusajaya, Ketua Balai Polis Kangkang Pulai, Ketua Balai Polis Ulu Choh, Ketua Balai Polis Gelang Patah, Ketua Balai Polis Mutiara Rini, Ketua Balai Polis Tanjung Kupang, Ketua Balai Polis Bukit Indah dan Ketua Balai Polis 2nd Link, Ketua Kampung Rangkaian Ulu Choh, En. Abas Bin Osman dan Anggota Polis dari IPD Nusajaya dan balai-balai polis serta penduduk dari sekitar Kangkar Pulai terutama Taman Pulai Emas dan Bandar Pulai Jaya.
Kehadiran ratusan penduduk yang memenuhi Pejabat Jualan Bandar Pulai Jaya menunjukkan sokongan penduduk di atas usaha pihak polis untuk mencegah jenayah dan menyelesaikan kes jenayah di sekitar Nusajaya. Program dimulai dengan bacaan doa oleh En.Khalid Bin Jaafar. Selaku Ketua Kampung Rangkaian Ulu Choh, En. Abas Bin Osman memberi penerangan peratusan penduduk mengikut kaum dengan kaum Melayu seramai 70%, Cina 20% dan India 10%. Usaha telah dijalan untuk mewujudkan Kawasan Rukun Tetangga untuk Bandar Pulai Jaya 1 dan Bandar Pulai Jaya 2 yang telah diluluskan penubuhannya serta Kawasan Rukun Tetangga bagi Taman Pulai Emas yang masih dalam process penajaan. En. Abas juga mengucapkan ribuan terima kasih atas usaha polis dari IPD Nusajaya dan Balai-balai Polis sekitar Nusajaya dalam usaha mencegah jenayah dan menyelesaikan kes jenayah. Keseluruhannya, kes jenayah di sekitar Rangkaian Kampong Ulu Choh menunjukan peratusan menurun.
OCPD Nusajaya, Supt. Tuan Abdul Aziz yang mula bertugas di IPD Nusajaya pada bulan Ogos 2007 telah menyatakan kebanggaan di atas kecekapan pegawai-pegawai polis di bawah seliaannya dari balai-balai polis sekitar Nusajaya dalam usaha menyelesaikan kes jenayah terutama kes jenayah berprofil tinggi. Selain itu, terdapat Balai-Balai Polis telah memenangi trofi kejuaraan samada di peringkat negeri Johor mahupun di peringkat Kebangsaan. Contohnya, Balai Polis Kangkar Pulai telah memenangi Juara Balai Polis Malaysia untuk tahun 2009. Beliau menegaskan yang usaha pihak polis yang komited dalam mencegah jenayah tetapi masih tidak boleh dibenteras 100%. Kebanyakan kes jenayah adalah melibatkan pendatang asing yang datang hanya untuk melakukan jenayah dan pulang semula ke Negara masing-masing setelah aktiviti jenayah mereka membuahkan hasil. Negeri Johor ini juga merupakan transit paling mudah penjenayah untuk meloloskan diri kerana hampir dengan pintu sempadan. Walau Bagaimanapun, banyak juga kes jenayah terutama berprofil tinggi berjaya diselesaikan hasil daripada bantuan dan kerjasama masyarakat setempat. Di Nusajaya, nisbah anggota polis terhadap penduduk adalah pada kadar 1 polis dan 900 penduduk. Pada tahun 2010 ini juga, peratusan jenayah juga menurun ke 32%. Selain itu, usaha juga dilakukan oleh pihak polis dengan kerjasama Rela dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dengan kejayaan menurunkan jenayah jalanan sebanyak 19%. Atas rasa pentingnya mendekatkan jurang komunikasi antara pihak polis dan masyarakat, Ketua Polis Negara telah mengeluarkan “arahan ke 20” supaya semua OCPD seluruh Negara menggerakkan program Kepolisian Masyarakat. Namun, tujuan penubuhan CP ini juga dinasihatkan sebolehnya tidak melibatkan pungutan duit orang ramai, tiada elemen kuasa tangkapan dan tiada unsur-unsur penyelewengan. Kepada penduduk-penduduk yang berminat untuk menganggotai Kepolisian Masyarakat (CP) ini boleh mendapatkan borang ahli daripada balai-balai polis terdekat. Borang ahli yang telah dilengkapkan boleh dihantar terus ke balai-balai polis atau AJKKK dan wakil CP yang berhampiran.
             Sessi dialog yang berlangsung sejurus tamat ucapan Tuan OCPD turut mendapat sambutan mengalakkan dari penduduk yang hadir. Kebanyakan penduduk dan juga mangsa kejadian jenayah berterima kasih dan berdoa agar kadar jenayah dapat dihapuskan serta kes jenayah dapat diselesaikan secepat mungkin. Ada juga penduduk mengadu hal ehwal berkenaan keselamatan dan pencegahan jenayah dan mendapat maklum balas yang segera dari pihak Tuan OCPD yang mana beliau terus mengeluarkan arahan lisan kepada pegawai yang terbabit. Tuan OCPD dan pegawai-pegawai polis yang hadir kemudiannya beramah mesra dengan penduduk dan menjamu selera dengan hidangan yang disediakan oleh pihak penganjur. Program berakhir pada pukul 11.00 malam.









Tuesday, December 7, 2010

Salam Maal Hijrah 1432

Selamat Menyambut Tahun Baru Maal Hijrah 1432








Sempena Tahun Baru Maal Hijrah 1432, pihak Jawatankuasa Pembinaan Surau Al-Falah turut mengadakan majlis sambutan Maal Hijrah di Surau sementara Al-Falah. Majlis bermula dengan bacaan Doa Akhir Tahun 1431 Hijrah selepas Solat Asar. Ia kemudian diikuti bacaan Doa Awal Tahun 1432 Hijrah selepas Solat Maghrib diketuai oleh Imam Johari. Ahli Kariah yang hadir juga bersama-sama membaca Yassin dan Tahlil diketuai En. Khairulzamri. Selesai Solat Isyak berjamaah, ahli kariah turut menjamu selera dengan sedikit jamuan yang telah disediakan.

Hijrah itu Perjuangan,
Hijrah itu Pengorbanan,
Hijrah membentuk Perpaduan,
Mari kita tegakkan Syiar Islam..
dari admin portal rasmi AJKKK BPJ2

Monday, December 6, 2010

MAJLIS BERKHATAN BERAMAI-RAMAI BANDAR PULAI JAYA 2

Sempena cuti sekolah ini, AJKKK Bandar Pulai Jaya 2 dengan kerjasama UMNO Cawangan Bandar Pulai Jaya 2 dan Kawasan Rukun Tetangga Bandar Pulai Jaya 2, telah menganjurkan satu Majlis Berkhatan Beramai-ramai. Majlis Berkhatan ini adalah terbuka kepada anak-anak di sekitar Bandar Pulai Jaya 2 ini. Untuk melicinkan persiapan dan perjalanan majlis, En. Abdul Jabar Bin Othman telah dilantik sebagai Penyelaras Majlis sementara Timbalan Penyelaras Majlis adalah En. Sazat Bin Daud.
                Majlis Berkhatan ini telah diadakan pada hari Ahad, 5hb Disember 2010. Majlis tersebut bertempat di taman permainan di Jalan Pulai Jaya 52 yang bermula pada pukul 8.30 pagi.  Penduduk-penduduk di sekitar Bandar Pulai Jaya 2 hadir untuk memeriahkan majlis. Selain itu, antara tetamu kehormat yang hadir adalah Tuan Haji Zaihan Bin Abdul Majid, Penghulu Kanan Mukim Kulaijaya, Ketua Polis Balai Polis Kangkar Pulai, Tuan Jasmani Bin Abdullah dan Ketua Kampung Ulu Choh, En.Abas Bin Osman. Majlis tersebut turut mendapat sumbangan oleh peniaga-peniaga sekitar Bandar Pulai Jaya iaitu Restoran Taslima, Restoran Naz, Kedai Dobi Auddiin, Farmasi Pulai Jaya dan Lavender Car Wash.
                Seramai 17 orang peserta telah mengambil bahagian di dalam majlis berkhatan ini. Majlis dimulakan dengan ucapan aluan Pengerusi Majlis, En.Zairudin Bin A Hamid diikuti bacaan doa oleh Ustaz Mokhtar. Diikuti ucapan kata-kata semangat oleh Tetamu Kehormat, Tuan Haji Zaihan, Penghulu Kanan Mukim Kulaijaya.  Peserta-peserta juga diberi hadiah cenderahati dan disampaikan oleh Tuan Haji Zaihan, Penghulu Kanan Mukim Kulaijaya serta Tuan Jasmani, Ketua Polis Balai Polis Kangkar Pulai. Perserta kemudiannya berarak di sekitar taman permainan sambil diiringi paluan kompang belia bandar pulai jaya 2 yang diketuai oleh En. Mohd. Tarikat. Sebagai acara kemuncak, peserta kemudiannya berkumpul ditengah taman permainan dan disiram oleh air pancutan dengan bantuan jentera Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Universiti.
                Sesudah puas bersiram dan “kecut”, peserta kemudiannya bersalin pakaian untuk majlis berkhatan. Majlis Berkhatan tersebut telah disempurnakan oleh 2 Pegawai Pembantu Perubatan dari Klinik Kesihatan Kulaijaya. Pengacara majlis turut mengumumkan ibu bapa peserta perlu mendapatkan undi untuk giliran peserta dipanggil masuk ke tempat majlis berkhatan dilangsungkan. Seorang demi seorang peserta masuk ke tempat Majlis Berkhatan dengan berbagai reaksi muka. Sementara menunggu giliran, peserta dihidangkan 2 biji telur ayam separuh masak untuk memberi tenaga dan perangsang kepada mereka.  Majlis berkhatan berhenti rehat untuk solat Zohor dan selesai pada jam 3.30 petang. Pihak penganjur bersama mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang memberi sumbangan dan penduduk-penduduk yang hadir pada majlis berkhatan ini...




































Wednesday, November 24, 2010

Petikan Akhbar Harian Metro pada Selasa, 23hb November 2010

     Pihak Ahli Majlis MPKu, En.Norazman Hasbullah telah memaklum balas berkenaan masalah rumah kongsi yang ditinggalkan. Sila klik pada gambar untuk paparan lebih jelas.

Monday, November 22, 2010

Hari Keputeraan DYMM Sultan Ibrahim

Selamat Menyambut Hari Keputeraan DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.
Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri Johor dan Jajahan Takluk Johor Darul Takzim.





  1. D.Y.M.M Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, diputerakan pada 22hb. November 1958 di Hospital Besar Johor Bahru (Sekarang Hospital Besar Sultanah Aminah)
  2. Putera pertama dari sepuluh (10) orang adik beradik, Baginda mula menerima pelajaran di Taman Didikan Kanak-Kanak Tunku Ampuan Mariam Johor Bahru kemudian memulakan pelajaran formal di Sekolah Temenggong Abdul Rahman (1), Johor Bahru.
  3. Paduka ayahandanya D.Y.M.M Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail telah menghantar D.Y.M.M Tuanku belajar di Trinity Grammer School Australia pada tahun 1968 hingga 1970.
  4. Setelah tamat persekolahan, D.Y.M.M Tuanku telah dihantar ke Pusat Latihan Tentera Darat (PULADA), Kota Tinggi, selama 3 tahun untuk menerima latihan asas ketenteraan.
  5. Dalam bidang kesukanan pula, permainan polo merupakan permainan yang sangat-sangat digemari dan juga merupakan seorang pemain polo yang sangat handal dan terkemuka bukan sahaja di negeri ini bahkan dirantau Asia.D.Y.M.M Tuanku pernah menyertai permainan polo di Singapura, Manila dan Brunei.
  6. Selain bermain polo, D.Y.M.M Tuanku juga gemar bermain tenis, boating (Water ski), payung terjun, menembak dan memandu kereta laju (sport car).
  7. D.Y.M.M Tuanku sangat mengambil berat tentang kegiatan-kegiatan sosial di dalam negeri dan amat mesra dengan rakyat. D.Y.M.M Tuanku ialah Penaung Persatuan Bulan Sabit Merah Negeri Johor.
  8. D.Y.M.M Tuanku telah dilanik sebagai Tunku Mahkota Johor di dalam satu upacara yang sederhana tetapi penuh istihadat di Istana Besar Johor Bahru pada 3hb. Julai 1981. Pelantikan ini telah dilakukan oleh ayahandanya iaitu Almarhum D.Y.M.M Sultan Iskandar dengan disaksikan oleh Yang Maha Mulia Sultanah Zanariah, Kerabat-Kerabat Damping, Ahli Jumaah Majlis DiRaja, Pembesar-Pembesar Negeri dan Orang-Orang Kenamaan.
  9. D.Y.M.M. telah dilantik Pemangku Raja pada Hari Jumaat 22 Januari 2010 bersamaan 6 Safar 1431 Hijrah kerana ayahandanya gering. Dimasyurkan sebagai Sultan Johor pada hari Sabtu 23 Januari 2010 bersamaan 7 Safar 1431 Hijrah setelah ayahandanya mangkat. sumber dari http://www.johordt.gov.my/kerajaan

Sunday, November 14, 2010

Petikan Akhbar Harian Metro Plus pada Jumaat, 12hb November 2010

Ralat : Gambar foto adalah En.Abdul Halim Bin Abdul Aziz, Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (AJKKK), Bandar Pulai Jaya 2 bukan foto Ahli Majlis MPKu, En.Norazman Hasbullah seperti tertera pada muka surat 2.


Thursday, November 11, 2010

Mesyuarat Khas Pelarasan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bandar Pulai Jaya 2

     Pada 8hb November 2010, satu mesyuarat khas telah diadakan bertempat di No.1650, Jalan Pulai Jaya 51 (rumah En.Hisham, Setiausaha KRT BPJ2). Ahli Jawatankuasa KRT yang terdiri daripada berbilang kaum hadir ke mesyuarat tersebut. Turut diundang ialah Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (AJKKK) Bandar Pulai Jaya 2, En.Abdul Halim.
     Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bandar Pulai Jaya 2, En.Epin@Supar telah memberi penjelasan kepada jawatankuasa serta mengumumkan KRT BPJ2 telah diluluskan. Ia telah disahkan oleh Dato'Azman @Azman Amin Bin Hassan, Ketua Pengarah Rukun Tetangga pada surat bertarikh 18hb Mac 2010 juga En.Baharin Bin Idris selaku Pengarah, Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional Negeri Johor pada surat yang bertarikh 6hb April 2010 dengan butiran seperti berikut,

No.Notis Penetapan:  RT01104779
Tarikh Mula: 17hb Mac 2010

Pihak jawatan kuasa KRT BPJ2 juga perlu menyediakan laporan aktiviti KRT BPJ2 pada tahun 2010 kepada pihak Jabatan Perpaduan Negara Dan Intergrasi Nasional Negeri Johor. Satu mesyuarat aktiviti juga akan diadakan pada Jumaat, 26hb November 2010. Mesyuarat ditangguhkan pada jam 11.00 malam.