Tuesday, December 14, 2010

TAKLIMAT KEPOLISIAN MASYARAKAT (COMMUNITY POLICING)


Pada 13hb Disember 2010, Balai Polis Kangkar Pulai dan Kepolisian Masyarakat Nusajaya (CP Nusajaya) telah menganjurkan sessi taklimat berkenaan Kepolisian Masyarakat atau Community Policing (CP) dan dialog bersama Ibu Pejabat Polis (IPD) Nusajaya. Program tersebut telah bermula pada pukul 8.30 malam di Pejabat Jualan Bandar Pulai Jaya. Antara yang hadir adalah, Supt. Tuan Abdul Aziz Bin Ahmad, OCPD Nusajaya, Pegawai-Pegawai Atasan polis dari IPD Nusajaya, Ketua Balai Polis Kangkang Pulai, Ketua Balai Polis Ulu Choh, Ketua Balai Polis Gelang Patah, Ketua Balai Polis Mutiara Rini, Ketua Balai Polis Tanjung Kupang, Ketua Balai Polis Bukit Indah dan Ketua Balai Polis 2nd Link, Ketua Kampung Rangkaian Ulu Choh, En. Abas Bin Osman dan Anggota Polis dari IPD Nusajaya dan balai-balai polis serta penduduk dari sekitar Kangkar Pulai terutama Taman Pulai Emas dan Bandar Pulai Jaya.
Kehadiran ratusan penduduk yang memenuhi Pejabat Jualan Bandar Pulai Jaya menunjukkan sokongan penduduk di atas usaha pihak polis untuk mencegah jenayah dan menyelesaikan kes jenayah di sekitar Nusajaya. Program dimulai dengan bacaan doa oleh En.Khalid Bin Jaafar. Selaku Ketua Kampung Rangkaian Ulu Choh, En. Abas Bin Osman memberi penerangan peratusan penduduk mengikut kaum dengan kaum Melayu seramai 70%, Cina 20% dan India 10%. Usaha telah dijalan untuk mewujudkan Kawasan Rukun Tetangga untuk Bandar Pulai Jaya 1 dan Bandar Pulai Jaya 2 yang telah diluluskan penubuhannya serta Kawasan Rukun Tetangga bagi Taman Pulai Emas yang masih dalam process penajaan. En. Abas juga mengucapkan ribuan terima kasih atas usaha polis dari IPD Nusajaya dan Balai-balai Polis sekitar Nusajaya dalam usaha mencegah jenayah dan menyelesaikan kes jenayah. Keseluruhannya, kes jenayah di sekitar Rangkaian Kampong Ulu Choh menunjukan peratusan menurun.
OCPD Nusajaya, Supt. Tuan Abdul Aziz yang mula bertugas di IPD Nusajaya pada bulan Ogos 2007 telah menyatakan kebanggaan di atas kecekapan pegawai-pegawai polis di bawah seliaannya dari balai-balai polis sekitar Nusajaya dalam usaha menyelesaikan kes jenayah terutama kes jenayah berprofil tinggi. Selain itu, terdapat Balai-Balai Polis telah memenangi trofi kejuaraan samada di peringkat negeri Johor mahupun di peringkat Kebangsaan. Contohnya, Balai Polis Kangkar Pulai telah memenangi Juara Balai Polis Malaysia untuk tahun 2009. Beliau menegaskan yang usaha pihak polis yang komited dalam mencegah jenayah tetapi masih tidak boleh dibenteras 100%. Kebanyakan kes jenayah adalah melibatkan pendatang asing yang datang hanya untuk melakukan jenayah dan pulang semula ke Negara masing-masing setelah aktiviti jenayah mereka membuahkan hasil. Negeri Johor ini juga merupakan transit paling mudah penjenayah untuk meloloskan diri kerana hampir dengan pintu sempadan. Walau Bagaimanapun, banyak juga kes jenayah terutama berprofil tinggi berjaya diselesaikan hasil daripada bantuan dan kerjasama masyarakat setempat. Di Nusajaya, nisbah anggota polis terhadap penduduk adalah pada kadar 1 polis dan 900 penduduk. Pada tahun 2010 ini juga, peratusan jenayah juga menurun ke 32%. Selain itu, usaha juga dilakukan oleh pihak polis dengan kerjasama Rela dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dengan kejayaan menurunkan jenayah jalanan sebanyak 19%. Atas rasa pentingnya mendekatkan jurang komunikasi antara pihak polis dan masyarakat, Ketua Polis Negara telah mengeluarkan “arahan ke 20” supaya semua OCPD seluruh Negara menggerakkan program Kepolisian Masyarakat. Namun, tujuan penubuhan CP ini juga dinasihatkan sebolehnya tidak melibatkan pungutan duit orang ramai, tiada elemen kuasa tangkapan dan tiada unsur-unsur penyelewengan. Kepada penduduk-penduduk yang berminat untuk menganggotai Kepolisian Masyarakat (CP) ini boleh mendapatkan borang ahli daripada balai-balai polis terdekat. Borang ahli yang telah dilengkapkan boleh dihantar terus ke balai-balai polis atau AJKKK dan wakil CP yang berhampiran.
             Sessi dialog yang berlangsung sejurus tamat ucapan Tuan OCPD turut mendapat sambutan mengalakkan dari penduduk yang hadir. Kebanyakan penduduk dan juga mangsa kejadian jenayah berterima kasih dan berdoa agar kadar jenayah dapat dihapuskan serta kes jenayah dapat diselesaikan secepat mungkin. Ada juga penduduk mengadu hal ehwal berkenaan keselamatan dan pencegahan jenayah dan mendapat maklum balas yang segera dari pihak Tuan OCPD yang mana beliau terus mengeluarkan arahan lisan kepada pegawai yang terbabit. Tuan OCPD dan pegawai-pegawai polis yang hadir kemudiannya beramah mesra dengan penduduk dan menjamu selera dengan hidangan yang disediakan oleh pihak penganjur. Program berakhir pada pukul 11.00 malam.









No comments:

Post a Comment