Thursday, November 4, 2010

MAJLIS JAMUAN HARI RAYA AIDILFITRI 1431H

Pada 16hb Oktober 2010, telah diadakan satu majlis Jamuan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 1431H bertempat di Taman Permainan, Jalan Pulai Jaya 52. Majlis jamuan tersebut telah dianjurkan oleh Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Bandar Pulai Jaya 2 dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga Bandar Pulai Jaya 2 dan Umno Cawangan Bandar Pulai Jaya 2. Tujuan utama majlis ini diadakan adalah untuk mengeratkan perpaduan dan hubungan di kalangan penduduk-penduduk Bandar Pulai Jaya 2 amnya dan penduduk setempat secara khususnya bagi mewujudkan satu jalinan kerjasama ke arah keharmonian yang lebih kukuh dan berkekalan.
Idea majlis jamuan ini dicetuskan oleh En.Shaharudin sekaligus dilantik sebagai Pengurus Acara tersebut. Sebuah jawatankuasa kecil telah dibentuk bertujuan melicinkan perjalanan majlis dan dipersetujui oleh kesemua penganjur bersama. Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri 1431H tersebut telah bermula pada jam 7.30 malam dan jemputan terdiri daripada kalangan penduduk Bandar Pulai Jaya 2 dan juga penduduk setempat. Tanpa mengira agama dan bangsa, jemputan hadir beramai-ramai dengan memakai pakaian kebangsaan masing-masing. Kira-kira 500 orang jemputan hadir ke majlis tersebut yang turut dihadiri oleh Ketua Kampung Ulu Choh, En.Abas Bin Osman dan Ketua Polis Balai, Balai Polis Kangkar Pulai, Tuan Jasmani Bin Abdullah.
Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri 1431 BPJ2 turut diselangi bacaan selawat Marhaban yang diketuai oleh Imam Johari dan juga diiringi Jawatankuasa Surau Al-Falah dan jawatankuasa kecil majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri. Dengan kehadiran yang diluar jangkaan, penduduk serta tetamu yang hadir berselera menjamu selera dengan hidangan yang disediakan seperti Nasi Beriyani, Ayam Masak Merah, Daging Lembu Masak Rendang, Ketupat dan Bubur Kacang sebagai menu utama. Ada juga dikalangan penduduk yang turut bermurah hati menyalurkan sumbangan menu tambahan seperti Roti Jala, Sandwich, karipap, kuih-muih dan buahan. Penyediaan menu utama dan beberapa menu tambahan juga dijalan secara gotong-royong atau “rewang”.
Sebagai wakil jawatankuasa majlis, AJKKK BPJ2, En.Halim menyampaikan ucapan alu-aluan dan berterima kasih kepada penduduk yang hadir dan mereka yang menjayakan majlis tersebut. Sebagai memeriahkan majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri, majlis tersebut turut diiringi lagu-lagu raya nyanyian artis tempatan. Beberapa penduduk terutama kanak-kanak turut ber”karaoke” lagu raya menambahkan seri majlis tersebut. Sebelum penutup, Pengacara Majlis, En.Fadzli turut mengumumkan pihak AJKKK BPJ2 dengan kerjasama KRT BPJ2 dan UMNO Cawangan BPJ2 akan berusaha untuk menjayakan majlis bersama penduduk seterusnya seperti Majlis Khatan, Hari Keluarga dan Sukaneka serta sambutan Hari Malaysia. Majlis selesai pada jam 11.00 malam.
















2 comments:

  1. Syabas kesemua yang terlibat. Good job and keep it up.

    ReplyDelete
  2. Meriah majlis hari Raya Aidilfitri 2010....semoga dapat mengeratkan silaturahim sesama penduduk.

    ReplyDelete