Tuesday, November 1, 2011

Risiko Menyebar Fitnah dan Terfitnah


Penyebaran fitnah mudah berlaku dalam era teknologi komunikasi moden sekarang. Kita sebagai pengguna perlu bijak agar ia disasarkan kepada berbuat kebaikan dan tidak disalahgunakan unuk membuat fitnah.

Ajaran Islam dengan kaedah yang amat ketat bagi memastikan kebenaran sesuatu berita supaya tidak terperangkap dengan berita berunsur fitnah. Kewajipan setiap Muslim menghalusi setiap berita yang diterima supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah. Sebarang berita diterima perlu dipastikan kesahihannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting digunakan bagi memastikan tidak terpedaya dengan bisikan syaitan musuh kita yang amat nyata dan terjun lolos ke arah dan memfitnah.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (surah Al-Hujurat, Ayat 6)

Tujuan fitnah ialah memburukkan individu atau kumpulan. Pada masa yang sama perbuatan itu dapat menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan lebih layak berbanding orang yang diburukkan itu.

Dosa menbuat fitnah berhubung rapat dengan dosa sesama manusia. Oleh itu, dosa itu tidak akan diampunkan Allah, melainkan orang yang difitnah itu memberi kemaafan. Janganlah disangka perbuatan menyebarkan berita fitnah sekadar satu kesalahan atau tiada sebarang kerugian.

Hakikatnya, dosa membuat fitnah menjauhkan diri dari syurga. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Dosa menyebar fitnah umpama api membakar ranting kering menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah akan menjadi muflis di akhirat nanti.

Penyebar khabar angin biasanya menyebut ‘dengar khabarkan …’ mengenai berita yang disebarkan. Bagaimanapun, apabila berita tersebarkan seperti berita benar kekadang ditokok tambah lai. Adab dalam Islam, sesuatu berita benar tetap tidak boleh disebarkan jika orang yang berkaitan cerita itu tidak mahu ia disebarkan kepada orang lain. Menyebarkan berita benar tetap dilarang, inikan pula menyebarkan berita tidak benar.

Dalam buku Ihya Ulumuddin Imam Ghazali menulis perbuatan membocorkan rahsia orang lain dan menjejaskan kehormatannya dengan cara membuka rahsianya yang tidak mahu diketahui orang lain dianggap sebagai perbuatan mengadu-domba dan fitnah.

Mengenai berita benar dan berita tidak benar yang disebarkan tanpa kebenaran atau kerelaan orang berkaitan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud:”Adakah kamu semua mengetaui apakah ghibah (mengumpat)? Sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Lalu Baginda meneruskan sabdanya: Kamu berkata mebgenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya. Lalu ditanya oleh seorang sahabat: walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya? Rasulullah bersabda lanjut: “Jika Kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu menfitnahnya.” (Hadis Riwayat Abu Hurairah)

Larangan mencari dan membocorkan rahsia orang lain jelas dilarang allah seperti dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain.” (Surah Al-Hujurat, Ayat 12). Justeru, setiap Muslim perlu bijak menilai sesuatu berita bagi mengelak daripada menerima dan kemudian menyebarkan sesuatu berita berunsur fitnah.

Oleh itu sama-samalah kita menjauhi dari segala fitnah dan memfitnah yang ianya merupakan cabang penyakit hati dan ubatnya ialah dengan memperbanyakkan taubat dan selalu berzikir.

Waallahualam.

Rujukan:

1.      Al-Quran dan Hadis
2.      Buku Ihya Ulumuddin karangan Imam Ghazali.

Nukilan oleh;
Tuan Johari Bin Zainudin
Imam 1 Surau Al-Falah, Bandar Pulai Jaya 2

No comments:

Post a Comment