Wednesday, November 9, 2011

Aktiviti Surau Al-Falah di Bulan November 2011

Assalamualaikum,

Kepada penduduk Bandar Pulai Jaya 2 yang dihormati, pihak Surau Al-Falah telah mengorak langkah dengan penganjuran aktiviti-aktiviti penghayatan Islam bermula Bulan November 2011 ini.

Antara aktiviti-aktiviti pada bulan November 2011 adalah.

1.  Pada 10hb November 2011, pihak JK Surau Al-Falah akan mengadakan Majlis Solat Hajat (Selepas Solat Maghrib) dan Bacaan Yaasin dan Tahlil (Selepas Solat Isyak) khas untuk para pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM dan juga peperiksaan Darjah Khas (SAKNJ). Semua ahli khariah Bandar Pulai Jaya 2 adalah dijemput hadir.

2.  Pada 26hb November 2011, pihak JK Surau Al-Falah juga akan mengadakan Majlis Doa Akhir Tahun 1432 dan Doa Awal Tahun 1433. Majlis bermula sebelum solat Maghrib di Surau Al-Falah. Semua ahli khariah Bandar Pulai Jaya 2 adalah dijemput hadir.

3.  Seperti dimaklumkan, Surau Al-Falah adalah bernaung di bawah Masjid Intan Abu Bakar, Taman Sri Pulai. Dan, setiap hari rabu, Masjid Intan Abu Bakar, Taman Sri Pulai ada mengadakan  kuliah Tafsir Al-Quran yang dipimpin oleh Ustaz Rifqi. Jemaah dari Surau Al-Falah adalah dijemput hadir.

Sunday, November 6, 2011

Selamat Hari Raya Aidiladha 1432

Assalamualaikum,

Pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Bandar Pulai Jaya 2 mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidiladha kepada semua penduduk beragama Islam. Kepada penduduk yang menunaikan Haji pada tahun ini, kami doakan saudara beroleh Haji Mabrur dan dapat menunaikan Haji dengan sempurna. Kami juga berdoa agar saudara sekalian dapat pulang dengan selamat. Kepada penduduk yang ada mengadakan ibadah Korban samada secara individu ataupun secara kelompok, kami doakan agar ibadah yang dijalankan mendapat rahmat dari Allah SWT. Sama-samalah kita mengambil ikhtibar sejarah disebalik ibadah korban ini. Wallahualam.


Tuesday, November 1, 2011

Risiko Menyebar Fitnah dan Terfitnah


Penyebaran fitnah mudah berlaku dalam era teknologi komunikasi moden sekarang. Kita sebagai pengguna perlu bijak agar ia disasarkan kepada berbuat kebaikan dan tidak disalahgunakan unuk membuat fitnah.

Ajaran Islam dengan kaedah yang amat ketat bagi memastikan kebenaran sesuatu berita supaya tidak terperangkap dengan berita berunsur fitnah. Kewajipan setiap Muslim menghalusi setiap berita yang diterima supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah. Sebarang berita diterima perlu dipastikan kesahihannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting digunakan bagi memastikan tidak terpedaya dengan bisikan syaitan musuh kita yang amat nyata dan terjun lolos ke arah dan memfitnah.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (surah Al-Hujurat, Ayat 6)

Tujuan fitnah ialah memburukkan individu atau kumpulan. Pada masa yang sama perbuatan itu dapat menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan lebih layak berbanding orang yang diburukkan itu.

Dosa menbuat fitnah berhubung rapat dengan dosa sesama manusia. Oleh itu, dosa itu tidak akan diampunkan Allah, melainkan orang yang difitnah itu memberi kemaafan. Janganlah disangka perbuatan menyebarkan berita fitnah sekadar satu kesalahan atau tiada sebarang kerugian.

Hakikatnya, dosa membuat fitnah menjauhkan diri dari syurga. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Dosa menyebar fitnah umpama api membakar ranting kering menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah akan menjadi muflis di akhirat nanti.

Penyebar khabar angin biasanya menyebut ‘dengar khabarkan …’ mengenai berita yang disebarkan. Bagaimanapun, apabila berita tersebarkan seperti berita benar kekadang ditokok tambah lai. Adab dalam Islam, sesuatu berita benar tetap tidak boleh disebarkan jika orang yang berkaitan cerita itu tidak mahu ia disebarkan kepada orang lain. Menyebarkan berita benar tetap dilarang, inikan pula menyebarkan berita tidak benar.

Dalam buku Ihya Ulumuddin Imam Ghazali menulis perbuatan membocorkan rahsia orang lain dan menjejaskan kehormatannya dengan cara membuka rahsianya yang tidak mahu diketahui orang lain dianggap sebagai perbuatan mengadu-domba dan fitnah.

Mengenai berita benar dan berita tidak benar yang disebarkan tanpa kebenaran atau kerelaan orang berkaitan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud:”Adakah kamu semua mengetaui apakah ghibah (mengumpat)? Sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Lalu Baginda meneruskan sabdanya: Kamu berkata mebgenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya. Lalu ditanya oleh seorang sahabat: walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya? Rasulullah bersabda lanjut: “Jika Kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu menfitnahnya.” (Hadis Riwayat Abu Hurairah)

Larangan mencari dan membocorkan rahsia orang lain jelas dilarang allah seperti dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain.” (Surah Al-Hujurat, Ayat 12). Justeru, setiap Muslim perlu bijak menilai sesuatu berita bagi mengelak daripada menerima dan kemudian menyebarkan sesuatu berita berunsur fitnah.

Oleh itu sama-samalah kita menjauhi dari segala fitnah dan memfitnah yang ianya merupakan cabang penyakit hati dan ubatnya ialah dengan memperbanyakkan taubat dan selalu berzikir.

Waallahualam.

Rujukan:

1.      Al-Quran dan Hadis
2.      Buku Ihya Ulumuddin karangan Imam Ghazali.

Nukilan oleh;
Tuan Johari Bin Zainudin
Imam 1 Surau Al-Falah, Bandar Pulai Jaya 2

Wednesday, October 26, 2011

Deepavalli 2011

Kepada penduduk di Bandar Pulai Jaya 2 yang menyambut Deepavalli, kami bagi pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Bandar Pulai Jaya 2 mengucapkan selamat menyambut Hari Deepavalli.


Friday, September 30, 2011

Marhaban 2011 di Bandar Pulai Jaya 2

Sekitar kemeriahan Program Marhaban di Bandar Pulai Jaya 2 yang di adakan di sepanjang bulan Syawal 1432H.




















Friday, August 26, 2011

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 2011/1432H

Bismillahirrahmannirrahim..


Assalamualaikum Wrt Wbt..

     
Kami di pihak Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) BANDAR PULAI JAYA 2 (BPJ 2) ingin merakam ucapan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 1432H kepada semua penduduk beragama Islam di BPJ 2. Ampun dan maaf kami pinta jika ada di antara kami yang menyakiti Zahir dan Batin Tuan/Puan semua sama ada secara sengaja ataupun tidak sengaja. Semoga kehadiran SYAWAL 1432H ini memberi Sinar Keberkatan yang lebih bermakna kepada kita semua serta mendapat Keredhaan di sisi ALLAH SWT.


IKHLAS DARI KAMI
............................................
PENGERUSI JKKK BPJ 2
SETIAUSAHA JKKK BPJ 2
AHLI JKKK BPJ2

Tuesday, August 16, 2011

Zakat Fitrah @ Bandar Pulai Jaya 2

Assalamualaikum,..

     Alhamdulillah, pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) telah bersetuju untuk melantik Tuan Haji Shamsudin sebagai Amil yang bertugas memungut Zakat Fitrah di Bandar Pulai Jaya 2 ini. Tuan Haji Shamsudin adalah merupakan Pengerusi Surau Bandar Pulai Jaya 1.
     Kepada penduduk yang beragama Islam di sekitar Bandar Pulai Jaya 2 yang ingin melunaskan Zakat Fitrah boleh berhubung terus dengan Tuan Haji Shamsudin. seperti diumumkan semasa solat Terawikh sepanjang minggu lepas, Tuan Haji Shamsudin ada membuka kaunter bayaran Zakat Fitrah pada hari Sabtu 13hb Ogos 2011 selepas solat Asar di Surau Al-Falah Bandar Pulai Jaya 2.Tuan Haji Shamsudin juga ada membuka kaunter di Bazar Ramadhan Bandar Pulai Jaya 1 (di jalan Persiaran Pulai Jaya) setiap hari selepas solat Asar.
Harap maklum.






Monday, August 15, 2011

Program Bubur Lambuk 2011

Assalamualaikum,..

     Seperti dimaklumkan pada posting Bubur Lambuk @ Bandar Pulai Jaya 2 pada Khamis 4hb Ogos 2011, pihak JK Surau Al-Falah telah menganjurkan program memasak Bubur Lambuk. Program memasak Bubur Lambuk ini bermula seawal jam 9.00 pagi telah mendapat bantuan dari JK Surau Al-Falah dan penduduk setempat. Sebelum itu, penduduk sekitar Bandar Pulai Jaya 2 turut sama menderma dari segi bahan mentah dan juga wang ringgit.
     Pada kali ini, pihak penganjur menggunakan 20 kilogram beras serta ramuan asas seperti daging, ikan, sayur campur dan rempah ratus mengikut resepi En. Ramli Bin Awab. Bubur Lambuk yang siap dimasak telah diagihkan selepas solat Asar di Surau Al-Falah. Dalam pada itu, Program memasak Bubur Lambuk kali kedua (untuk bulan Ramadhan) kali ini akan diadakan pada hari Sabtu 20hb Ogos 2011. Penduduk yang berminat untuk memberikan sumbangan boleh menghubungi JK Surau Al-Falah. Berikut kemeriahan sepanjang seharian program itu berlansung.












Monday, August 8, 2011

Penjualan Lot Wakaf (Tapak Solat) Surau Al-Falah

Assalamualaikum..

  1. Sukacitanya dimaklumkan, pihak Jawatankuasa Pembinaan Surau Al-falah yang dipengerusikan oleh Encik Azlan Bin Idris telah berjaya mendapat kelulusan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor dan Pejabat Agama Islam Kulaijaya untuk menjual lot wakaf (tapak surau) Surau Al-Falah.
  2. Pihak Jawatankuasa Pembinaan Surau Al-Falah juga memohon kemaafan di atas kelewatan penjualan ini kerana proses kelulusan tersebut yang telah memakan masa lebih 6 bulan untuk menunggu kelulusan dari MAIJ dan Pejabat Agama Islam Kulaijaya.
  3. Penjualan Lot Wakaf (Tapak Solat) Surau Al-Falah ini adalah terbuka kepada penduduk beragama Islam khasnya yang mendiami Bandar Pulai Jaya 2.
  4. Harga untuk penjualan Lot Wakaf tersebut berharga RM50 untuk SATU KAKI PERSEGI.
  5. Nombor kelulusan Penjualan Lot Wakaf (Tapak Solat) adalah BPJ/JPS-006/2010 (01A).
  6. Kepada penduduk Islam di sekitar Bandar Pulai Jaya 2 yang ingin membeli Lot Wakaf (Tapak Solat) Surau Al-Falah boleh terus menghubungi ahli Jawatankuasa Pembinaan Surau Al-Falah yang dilantik iaitu En. Abdul Halim Bin Abdul Aziz (019-7063166) dan En. Jamian Bin Sayuti (017-7660060).



Thursday, August 4, 2011

Bubur Lambuk @ Bandar Pulai Jaya 2

Assalamualaikum,..
  1. Sempena dengan kedatangan bulan Ramadhan ini, pihak JK Surau juga ada menganjurkan Program Bubur Lambuk.
  2. Program Bubur Lambuk ini akan diadakan pada 13hb Ogos 2011 (Sabtu) dan 20hb Ogos 2011 (Sabtu).
  3. Kepada penduduk yang beragama Islam berminat untuk menghulurkan dana dan bahan mentah sila hubungi Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Surau.

Wednesday, August 3, 2011

Program TADARUS AL-QURAN @ Surau Al-Falah


Assalamualaikum..
  1. Seperti dimaklumkan, pihak JK Surau Al-Falah telah menganjurkan program Tadarus Al-Quran di sepanjang bulan Ramadhan ini.
  2. Program tadarus Al-Quran ini bermula selepas moreh.
  3. Program ini terbuka kepada semua penduduk di sekitar Bandar Pulai Jaya 2.

Monday, August 1, 2011

Cahaya Ramadhan Al-Mubarak

Assalamualaikum..

Ramadhan al-Mubarakh

         Seperti diumumkan oleh Penyimpan Mohor-mohor Besar di-Raja, ummat Islam di negara Malaysia telah mula menjalani ibadah berpuasa bermula pada hari Isnin, 1hb Ogos 2011 bersamaan 1 Ramadhan 1432 Hijrah.
         Alhamdulillah pada tahun ini, kita diberi peluang oleh Allah SWT untuk menyempurnakan Ibadah puasa yang merupakan rukun Islam ketiga.
        Pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bandar Pulai Jaya 2 serta Jawatankuasa Induk ingin merakam ucapan Selamat Berpuasa kepada semua penduduk yang beragama Islam.
        Pihak JKKK Bandar Pulai Jaya 2 juga dimaklumkan Jawatankuasa Surau Al-Falah akan memimpin Solat Sunat Terawikh (8 Rakaat) dan Solat Sunat Witir (3 Rakaat) sepanjang bulan Ramadhan di Surau Al-Falah. Pihak JK Surau Al-Falah juga turut mengadakan acara sampingan di sepanjang bulan Ramadhan ini seperti Tadarus Al-Quran dan Bubur Lambuk.
        Penyertaan untuk program Tadarus ini adalah terbuka kepada semua penduduk beragama Islam di Banar Pulai Jaya 2 ini. Program Tadarus Al-Quran ini diadakan selepas Solat Sunat Terawikh dan Witir Untuk program Bubur Lambuk, pihak JK Surau Al-Falah bercadang untuk mengadakan gotong-royong menyiapkan Bubur Lambuk pada hari Sabtu, 13hb Ogos 2011 dan 20hb Ogos 2011 (minggu ke-2 dan ke-3 Ramadhan). Kepada penduduk beragama Islam yang ingin menderma dana ataupun bahan mentah boleh menghubungi Pengerusi Surau Al-Falah, Ustaz Mokhtar dan Timbalan Pengerusi, Encik Tahzib.


Saturday, July 30, 2011

Majlis Doa Selamat Surau Al-Falah

Assalamualaikum,..

Majlis Doa Selamat

       Bersempena dengan pembukaan bangunan baru Surau Al-Falah, pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatam Kampung (JKKK) Bandar Pulai Jaya 2 dengan kerjasama Jawatankuasa Surau Al-Falah telah menganjurkan Majlis Doa Selamat.
        Antara tetamu kehormat yang hadir adalah YB Datuk Hj Abdul Aziz Bin Sapian selaku Wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri Nusajaya, Tuan Hj Md. Rofiki Bin Dato' Hj. A. Shamsudin selaku Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kulaijaya, , Tuan Haji Mohd. Fahmi Bin Abdul Samad selaku Tuan Kadi Daerah Kulaijaya, Tuan Haji Zaihan Bin Abdul Majid selaku Penghulu Kanan Mukim Kulai-Senai, Encik Abas Bin Osman selaku Ketua Kampung Ulu Choh, Tuan Haji Hassan Bin Mohamad selaku Penggerak Masjid/Surau Daerah Kulaijaya.
Majlis Doa Selamat tersebut dipengerusikan oleh Pengerusi Surau Al-Falah, Ustaz Mokhtar Bin Mohamad sementara Encik Johari Bin Zainudin selaku Imam 1 Surau Al-Falah memimpin Bacaan Doa Selamat.
        Alhamdulillah, penduduk beragama Islam telah hadir beramai-ramai untuk sama-sama bersolat jemaah Maghrib yang kemudian diikuti dengan doa selamat. Semua hadirin kemudian menjamu selera dengan sedikit juadah selepas Solat Isyak.








Monday, July 25, 2011

Gotong-Royong Pembersihan Surau Al-Falah

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera,

Pada hari Ahad, 24hb Julai 2011, Jawatankuasa Pembinaan Surau Al-Falah telah mengadakan satu gotong-royong kecilan untuk membasuh ibu surau baru Surau Al-Falah. Aktiviti gotong-royong ini bermula pada pukul 9.00 pagi dan mendapat kerjasama yang menggalakkan daripada penduduk beragama Islam sekitar Bandar Pulai Jaya 2. Untuk makluman, surau baru ini akan boleh digunakan pada bulan ramadhan ini dan seterusnya. Pihak berwajib telahpun memberi kelulusan sementara untuk ibu surau digunakan. Pihak JK Surau Al-Falah juga akan mengadakan Majlis Doa Selamat di surau baru pada hari Jumaat, 29hb Julai 2011 iaitu selepas Solat Margrib. Semua penduduk beragama Islam dijemput hadir bersama-sama. Namun begitu pihak JK Pembinaan Surau Al-Falah dan JK Surau Al-Falah masih mengalu-alukan sumbangan derma untuk dana pembinaan Surau Al-Falah dan aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan selepas ini. Berikut suasana gotong-royong yang dijalankan pada pagi Ahad. Terima Kasih kepada semua penduduk yang menjayakan aktiviti ini juga kepada penyumbang makanan dan minuman. Turut hadir sama kontraktor pembinaan Surau al-Falah.